Sultan Perak: Isu agama jangan diuji

6 Jul

Sultan Perak Sultan Azlan Shah hari ini mengingatkan rakyat supaya isu berkaitan agama tidak diuji dan dicabar hingga ke peringkat yang boleh menimbulkan kegelisahan.

Menurut baginda, ketenteraman awam boleh terjejas dan perang saudara boleh tercetus kerana perkara mengenai agama sangat sensitif dan menyentuh emosi.

“Islam menganjur umatnya untuk menghormati agama lain dan tidak bermusuh dengan penganut agama lain selagi kemuliaan Islam tidak dipersenda, selagi Islam tidak dihina dan selagi hak umat Islam tidak dicerobohi,” titah baginda.

Menurut laporan Bernama, baginda bertitah demikian ketika merasmikan pembukaan persidangan Dewan Undangan Negeri Perak.

Baginda turut mengingatkan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Perak supaya memelihara kemuliaan dewan menerusi perkataan, perbuatan serta tingkah laku selain cara dan adab berpakaian bagi menghormati adat dan resam yang melambangkan kemurniaan budaya dan ketinggian tamadun.

Sultan Azlan Shah bertitah, Islam adalah agama yang diberikan pengiktirafan khusus dalam Perlembagaan Negara dan agama Islam mempunyai talian serta ikatan yang istimewa dan lama dengan penduduk di bumi ini.

Titah baginda, Islam adalah tunjang utama dalam pembentukan minda dan budaya khususnya di kalangan orang Melayu di bumi ini, hinggakan umat Islam dan orang Melayu itu sinonim dan tidak boleh dipisahkan.

“Islam diterima dan diiktiraf sebagai agama rasmi dengan diberikan keistimewaan dan perlindungan dalam negara ini sewaktu perjanjian merdeka sedang dirintis,” titah baginda.

Perbelanjaan berhemah

Sultan Azlan Shah turut bertitah kerajaan negeri dan rakyat perlu segera melakukan pengubahsuaian dengan mengamalkan langkah perbelanjaan berhemah, bijaksana dan berhemah kerana krisis harga minyak berlaku di seluruh dunia dan bukan terbatas di negara ini sahaja.

Titah baginda, krisis yang dihadapi itu adalah krisis global, tidak ada satu pihak yang harus dipersalahkan serta tidak ada satu pihak yang boleh mengatasinya secara sendirian.

“Dalam menghadapi krisis ini para pemimpin harus bersatu, mencari kata sepakat untuk meringkankan tanggungan rakyat. Kerjasama pelbagai pihak, kerajaan persekutuan, kerajaan negeri, kerajaan tempatan, pihak swasta, badan perniagaan dan rakyat jelata amat perlu dijalin supaya negara dan rakyat tidak akan sengsara,” titah baginda.

Sultan Azlan Shah juga mengingatkan kerajaan negeri bahawa segala kegiatan ekonomi baik berbentuk pengembangan atau yang baru perlulah mewujudkan peluang kerja kepada rakyat tempatan.

“Pengwujudan kerja kepada rakyat tempatan hendaklah menjadi salah satu prasyarat ketika meluluskan pelaburan dan sebarang pengembangan atau aktiviti baru ekonomi,” titahnya.

Baginda bertitah harga timah yang melambung tinggi pada masa sekarang meletakkan industri itu kembali berdaya maju dan minat untuk melabur dalam industri perlombongan timbul kembali.

Kekayaan hasil bumi

“Beta perlu mengingatkan bahawa kerajaan beta akan menilai potensi sektor perlombongan bijih timah secara teliti dan berhati-hati. Kerajaan beta tidak akan tergopoh-gapah, sebaliknya kajian mendalam akan dilakukan dari segi kos-faedah supaya kepentingan jangka panjang negeri dan rakyat sentiasa diutamakan,” titah baginda.

Titah baginda, kerajaan negeri tidak akan berkompromi daripada aspek alam sekitar serta memastikan bahawa pemulihan semula tanah bekas lombong dilaksanakan dengan pemantauan rapi.

Baginda bertitah pengalaman lampau dan kesilapan terdahulu hendaklah dijadikan pengajaran penting kerana setelah pelombong mengaut kekayaan hasil bumi, Perak ditinggalkan dengan muka bumi yang tidak lagi subur dan sesuai untuk pertanian.

Sultan Azlan Shah juga bertitah kerajaan negeri yang diberi perkenan dibentuk berikutan pemilihan yang telah dilakukan oleh rakyat ini dapat mengotakan segala janji pembangunan.

“Masa berkempen telah berakhir. Kata-kata yang menjurus kepada kepentingan politik kepartian hendaklah dihentikan. Mengurus sebuah kerajaan memerlukan pendekatan berlainan dengan era berkempen,” titah baginda kepada kerajaan negeri yang terdiri gabungan DAP, PAS dan Parti Keadilan Rakyat.

Dalam pilihanraya umum 8 Mac lepas, DAP menang 18 kerusi, PAS enam dan Parti Keadilan Rakyat tujuh manakala Barisan Nasional menang 28 kerusi. Persidangan dewan disambung esok.

One Response to “Sultan Perak: Isu agama jangan diuji”

  1. encikdin July 6, 2009 at 10:41 am #

    http://lelakiperkasa.com

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: